.

glitter-graphics.com

ツ Kata - kata aluan dan Profil Pemilik Blog ツ

My photo
SALAM 1 MALAYSIA UNTUK RAKYAT MALAYSIA . Saya , NUR SYARAH RABIHA , seorang pelajar SMK CONVENT BATU PAHAT, JOHOR . Berumur 16 tahun . Blog ini ditubuhkan adalah untuk saya berkongsi bersama anda mengenai hak-hak anda sebagai pengguna . Anda rakyat Malaysia ? Ayuh baca blog ini untuk mengetahui hak - hak anda sebagai pengguna . SELAMAT MEMBACA . Dan , jangan lupa untuk tinggalkan komen anda mengenai blog pengguna ini . Jika ada sebarang pertanyaan , jangan segan silu untuk bertanya . TERIMA KASIH ツ

Monday, June 21, 2010

TIP MEMBUAT ADUAN DAN TEMPAT MEMBUAT ADUAN

TIP MEMBUAT ADUAN YANG BERKESAN :

1 . Simpan semua maklumat pembelian di dalam fail.
2 . Dapatkan bukti yang berkaitan.
3 . Bertenang dan atur stategi yang berkesan.
4 . Gunakan fakta dan statistik untuk membuktikan kesahihan aduan.
5 . Tulis surat aduan yang ringkas dan padat.
6 . Ikuti dan catat perkembangan aduan yang dilaporkan.
7 . Gunakan media massa untuk membuat laporan aduan


SALURAN UNTUK MEMBUAT ADUAN :


1) E – Aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK)
Sistem E-Aduan membolehkan pengguna membuat aduan kepada KPDNKK berkaitan sebarang aktiviti perniagaan yang tidak beretika. Sistem eAduan ini dibangunkan dan dilaksanakan dengan satu objektif: untuk menyediakan satu medium menerima aduan melalui internet daripada orang ramai.

Laman web : http://eaduan.kpdnkk.gov.my
Email : e-aduan@kpdnkk.gov.my

2) Biro Pengaduan Awam (BPA)
Biro Pengaduan Awam (BPA) memberi kemudahan kepada rakyat untuk membuat aduan terhadap agensi kerajaan. Antara objektif BPA ialah memberi khidmat nasihat kepada agensi bagi meningkatkan sistem pengendalian aduan awam yang berkesan dan mengesan isu-isu yang boleh menjadi punca aduan orang awam

Laman web : http://www.pcb.gov.my
Tel : 03-88725777



3) Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM)
Pengguna boleh membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya tentang sebarang isu berkaitan dengan sektor komunikasi dan multimedia merangkumi telekomunikasi, penyiaran, perkhidmatan internet, perkhidmatan pos, kurier dan pensijilan digital.

Laman Web : http://www.skmm.gov.my
E-mail : aduanskmm@cmc.gov.my

4) Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah satu badan bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999. Bahagian XII Akta mengandungi 38 Seksyen yang menyentuh tentang pelbagai aspek Tribunal seperti keanggotaan Tribunal, bidangkuasa Tribunal, prosiding Tribunal, award Tribunal dan lain-lain perkara berkaitan. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia menyedikan alternatif kepada pengguna untuk memfailkan sebarang gantirugi dan pampasan terhadap peniaga secara online.

Laman Web : http://ttpm.kpdnkk.gov.my
Tel : 03-88825822

5) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Sistem aduan Kementerian Kesihatan ini dibangunkan sebagai medium untuk pengguna membuat aduan berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi terbabit dibawahnya.

Laman web : http://www.moh.gov.my
Email : kkm@moh.gov.my

6) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KTTHA)

Diwujudkan untuk membuat sebarang aduan, pertanyaan, cadangan yang berkaitan perkhidmatan tenaga, teknologi hijau dan air.

Laman Web : http://aduan.kettha.gov.my
E-mail : aduans@ktak.gov.my




7) Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Pusat aduan setempat bagi memberikan khidmat nasihat, membantu menyalurkan aduan kepada pihak yang bersesuaian seperti agensi kerajaan, pengeluar, pengedar atau penjual dan menjalankan perundingan antara pihak pengadu dengan pihak dituntut.

Laman web : http://www.nccc.org.my/v2
Tel : 03 7877 9000

Thursday, June 17, 2010

PELESTARIAN ALAM MENGHINDARKAN BENCANA

MANUSIA adalah sebaik-baik kejadian yang dianugerahkan akal untuk menilai baik dan buruk sesuatu. Sebagai insan yang menghuni alam jagat ini, Tuhan menyediakan pelbagai kemudahan serba lengkap dengan penuh hikmah dan manfaatnya.

Apa saja yang ada di bumi ini untuk kemudahan manusia. Begitulah dengan alam sekitar yang dihiasi kawasan hijau berbukit-bukau dan bergunung-ganang.

Ia ditumbuhi pelbagai spesies pokok sebagai kawasan tadahan hujan dan penyerap haba.

Tetapi manusia selalu lupa dan lalai dengan apa yang dianugerahkan Allah. Dalam mengejar arus pembangunan, kadang-kadang faktor kepentingan menjaga alam sekitar seakan-akan dikorbankan. Justeru, banyaklah tragedi menimpa manusia lantaran meninggalkan amanah Tuhan dalam menjaga alam ini sebaik mungkin.


Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan peristiwa menyayat hati kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Selangor baru-baru ini.


Kejadian ngeri itu ulangan tragedi Highland Tower yang menyembah bumi 15 tahun lalu.

Kebanyakan peristiwa tanah runtuh yang mengakibatkan rumah tertimbus dan mengorbankan manusia berlaku di kawasan lereng bukit yang dibangunkan untuk tujuan tertentu seperti projek perumahan.

Sesungguhnya menebus guna kawasan bukit atau hutan seolah-olah mengundang bencana.

Ini kerana alam sekitar adalah amanah Allah kepada manusia dan dianugerahkan untuk dijaga serta dimanfaatkan dengan bijaksana.

Namun, manusia selalu rakus dan lalai dengan amaran Allah. Itulah ‘bayaran’ yang terpaksa ditanggung akibat kealpaan kita.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pancang pasak yang menetapkannya (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternakan kamu.” (Surah An-Naziaat ayat 30-33)

Demikian Allah ciptakan untuk kemudahan dan kesenangan manusia di bumi ini.

Sehubungan itu, kita perlu insaf apa saja di bumi ini bukan dijadikan begitu sahaja oleh Allah, sebaliknya terdapat hikmah dan manfaatnya.

Sebab itulah Allah memberi peringatan yang jelas kepada umat manusia supaya menjaga dan memelihara khazanah di bumi dengan baik.

Ini sebagaimana terdapat dalam Firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya.” (Surah Al-A’Araat ayat 56).

Daripada ayat itu, Allah memberi amaran kepada manusia agar tidak merosakkan apa yang Allah ciptakan. Ini kerana semua itu terhampar untuk manfaat manusia untuk kehidupan tenteram dan sejahtera.

Tetapi, masa berubah, manusia semakin mengejar pembangunan material sehingga seolah-olah tidak lagi mengingati peringatan Allah dalam al-Quran.

Manusia tidak lagi amanah untuk memelihara dan menjaga alam sekitar. Kawasan bukit dan lereng gunung yang sebelum ini indah dan hijau mata memandang bertukar wajah dan fungsi

Deretan kawasan perumahan dibina manakala di lereng bukit dan gunung dijadikan lebuh raya.

Sebenarnya mengejar pembangunan dan kemajuan memang dituntut Islam. Malangnya manusia bertindak melampaui batas dan rakus dalam menggunakan khazanah alam tanpa memikirkan kesan buruk kemudian hari.

Inilah fenomena yang lazim berlaku.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat Muslim).

Maksudnya alam ini dipenuhi kawasan pokok hijau dan cantik pemandangannya dan menjadi tugas manusia untuk menjaga dan memelihara agar keadaan itu kekal untuk manfaat manusia.

Kawasan bukit atau gunung menyediakan sumber air dan mempunyai sistem ekologi untuk manusia.

Atas dasar mengaut keuntungan, elemen alam diketepikan malah amaran Allah dipandang remeh.

Ingatlah, Allah mengingatkan implikasi sikap rakus manusia membawa kepada kerosakan di bumi. Ia jelas terpapar dalam Surah Ar-Rum ayat 41: “Sudah timbul kerosakan di darat dan lautan disebabkan perbuatan tangan manusia.” Sebagai manusia, kita perlu selalu mengambil peringatan Allah dengan insaf supaya kejadian buruk seperti tanah runtuh tidak berulang.

Sebaliknya, manusia mesti memakmurkan sumber alam dengan mengikut garis panduan Islam.

Allah berfirman dalam Surah Hud, ayat 51 bermaksud: “Dia menciptakan bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurnya.”

Yang menjadi pemakmur ialah manusia yang dijadikan sebagai khalifah di bumi.

Dalam perspektif pembinaan tamadun Islam, hubungan manusia dengan alam menjadi satu prinsip utama selain hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan manusia.

Manusia seharusnya menjadi makhluk pemakmur sebagaimana yang diamanahkan Allah dan mengelakkan menjadi ‘makhluk perosak’ kepada apa yang terbentang di bumi ini.

Sebenarnya banyak peristiwa berlaku sepatutnya menginsafkan manusia, tetapi begitulah sikap manusia yang mudah lupa.

Lantas sikap lalai dan rakus kembali berleluasa menguasai jiwa. Oleh itu, tugas melestarikan alam sekitar menjadi tanggungjawab manusia supaya dapat hidup tenteram, aman dan sejahtera sepanjang masa serta dapat mewariskannya kepada generasi akan datang.

Beringat sebelum kena. Janganlah sudah terantuk baru terngadah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda bagi orang berakal (iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan baring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada siksa neraka.” (Surah Ali Imran ayat 190-191).

Info dari : Pusat Maklumat Rakyat .

Tuesday, June 15, 2010

KEMPEN KURANGKAN PENGAMBILAN GULA 2010



Dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia .
Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan di Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, memang menjadi kebiasaaan kepada orang dewasa di Malaysia menambah 7 sudu teh sehari (51g) iaitu 4 sudu teh (21g) gula pasir dan 3 sudu teh (30g) susu pekat manis ke dalam minuman mereka. Jumlah gula yang ditambah ke dalam minuman ini telah melebihi saranan Petubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan jumlah gula sehari tidak melebihi daripada 50g.

Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan. Dalam jangka masa yang panjang, ia boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS) III, 2006 mendapati 29.1% orang dewasa di Malaysia berlebihan berat badan manakala 14.0% pula obes. Ini telah menunjukkan peningkatan berbanding dengan NHMS II, 1996 iaitu masing-masing 16.0% (berlebihan berat badan) dan 4.0% (obes).

Obesiti dan berlebihan berat badan meningkatkan risiko mendapat pelbagai jenis penyakit kronik seperti diabetes dalam kalangan penduduk yang berumur lebih dari 30 tahun telah meningkat daripada 8.3% pada tahun 1996 (NHMS II) kepada 14.9% pada tahun 2006 (NHMS III).

Gula juga boleh dikaitkan dengan pembentukkan karies gigi (dental caries). Data dari Kementerian Kesihatan menunjukkan kadar karies gigi di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun adalah 76.5% (2005) dan 80.9% dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 6 tahun (1997).

"Dengan pengambilan 7 sudu teh gula sehari, jika gula itu gagal dibakar oleh tubuh, ia akan ditukarkan menjadi 20g lemak. Jika pengumpulan lemak ini berterusan selama setahun, sebanyak 7.3 kg lemak berlebihan akan terkumpul dalam badan! Cubalah bayangkan keadaaan kesihatan kita akibat daripada pengumpulan lemak yang banyak ini!" - Dato' Sri Liow

1 sudu teh gula membekalkan 20 kilokalori. Untuk membakar 140 kilokalori yang diperolehi daripada 7 sudu teh gula tambahan, seseorang itu perlu berjoging atau berjalan menaiki bukit selama 20 minit, senamrobik selama 30 minit, berbasikal selama 40 minit atau melakukan kerja-kerja rumah yang biasa seperti menyapu sampah, membasuh, memasak dan mengemas selama 1 jam.

Sekiranya seseorang itu mengurangkan pengambilan gula tambahan kepada 3 sudu teh gula sehari iaitu 1 sudu teh gula bagi 3 cawan minuman bergula yang diambil dalam sehari, beliau dapat mengelakkan penambahan tenaga sebanyak 80 kilokalori sehari, 560 kilokalori seminggu atau 2240 kilokalori sebulan. Oleh itu, beliau dapat mengelakkan penambahan lemak sebanyak 300g sebulan, atau 600g dalam tempoh dua bulan atau 3.6kg dalam tempoh setahun.

Selain daripada menjaga kesihatan, pengurangan penggunaan gula juga membantu menjimatkan perbelanjaan harian. Berat satu sudu teh gula bersamaan dengan 5g. Harga 1kg gula pula adalah RM 1.65. Ini bermakna harga bagi 1 sudu teh gula adalah 0.8 sen atau satu sen.

Sekiranya seorang pengendali makanan yang biasa menyediakan minuman menggunakan gula tambahan sebanyak 4 sudu teh bagi setiap cawan mengurangkan kepada 1 sudu teh, beliau dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak 3 sen bagi setiap cawan minuman yang disediakan. Sekiranya beliau menyediakan minuman bergula kepada 500 pelanggan dalan sehari, beliau boleh menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM 15 (3 sen x 500 cawan) sehari, atau RM450 (RM 15 x 30 hari) sebulan, dan RM 5,400 (RM 450 x 12 bulan) setahun!

Dalam usaha menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula, Kementerian Kesihatan telah menjalankan beberapa inisiatif bagi mendidik rakyat. Ini termasuk Kempen Cara Hidup Sihat yang bermula pada tahun 1991. Kempen ini diterus dan diperkukuhkan sehingga kini melalui pelaksanaan Promosi Makan Secara Sihat (Healthy Eating Promotion).

Pada tahun 1998, Kempen Kurangkan Gula telah dijalankan secara intensif. Pelbagai aktiviti telah dijalankan. Ini termasuk kempen yang disasarkan kepada gerai makanan dengan menggunakan slogan "1 Mencukupi, Kurang Lebih Baik", rundingan dengan hotel, restoran, kantin, kedai kopi, pemegang francais dan katerer, serta penyebaran mesej kurangkan gula melalui risalah, poster dan iklan televisyen.

Tambahan, perundingan dengan industri makanan turut dijalankan. Melalui perundingan ini, industri makanan telah bersetuju untuk mengurangkan kandungan gula dalam produk makanan dan minuman yang mereka keluarkan. Hasilnya, pada hari ini, didapati semakin banyak produk yang kurang kandungan gula boleh didapati di dalam pasaran. Usaha ini diteruskan bagi memastikan pengeluaran produk sebegini dipertingkatkan lagi.

Seiring dengan usaha ini, pelabelan makanan "rendah gula" (low sugar) dan "bebas gula" (sugar free) telah dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Mengikut Peraturan-Peraturan ini, makanan "rendah gula" adalah makanan yang mengandungi gula tidak melebihi 5g per 100g atau 2.5g per 100ml. Makanan "bebas gula" pula adalah makanan yang mengandungi gula tidak melebihi 0.5g per 100g atau 100ml. Peraturan-Peraturan Makanan 1985 juga mewajibkan pelabelan kandungan gula dalam minuman sedia diminum.

Pada tahun 2007, kempen media yang menumpukan kepada promosi makan secara sihat yang dikenali sebagai "5M" telah dijalankan." Mengurangkan Gula" merupakan salah satu mesej yang disampaikan dalam kempen ini. Usaha lain yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan termasuk menjalankan aktiviti pendidikan melalui media massa dan melalui beberapa setting seperti pusat maklumat pemakanan dan dapur sihat masyarakat yang terdapat di hampir semua negeri.

Usaha juga dilakukan bagi mendidik kanak-kanak sekolah melalui program dan aktiviti yang dijalankan bersama Kementerian Pelajaran Malaysia termasuk melalui mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Mesej bagi mengurangkan pengambilan gula juga merupakan salah satu komponen utama di dalam Panduan Diet Malaysia.

Di samping itu, perkhidmatan rundingan cara pemakanan juga disediakan di klinik-klinik kesihatan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat tentang amalan makan secara sihat, termasuk mengurangkan pengambilan gula. Perkhidmatan terus kepada rakyat ini diberikan oleh Pegawai Zat Makanan. Sehingga Mac 2010, 51 jawatan Pegawai Zat telah diwujudkan di klinik-klinik kesihatan untuk tujuan ini.

Perkhidmatan ini akan diperkukuhkan dengan menetapkan Pegawai Zat Makanan di semua klinik kesihatan. Kempen Kurangkan Gula 2010 merupakan usaha berterusan kerajaan untuk mendidik rakyat tentang kesan pengambilan gula yang berlebihan. Dalam masa yang sama, kempen ini bertujuan menggalakkan pengendali makanan dan industri makanan menyediakan makanan dan minuman yang rendah kandungan gula kepada pengguna. Ini penting bagi menyediakan persekitaran yang menggalakkan rakyat mempraktikkan amalan makan secara sihat.

Tujuan jangka panjang kempen ini adalah untuk melahirkan rakyat yang sihat dan sejahtera, supaya dapat menyumbang secara berkesan kepada pembangunan negara.

Pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia :
1) Makan makanan rendah kandungan gula.
a. Pilih atau sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula.
b. Gantikan manisan pencuci mulut seperti kuih dan kek dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan.
c. Kurangkan kekerapan mengambil makanan yang bergula.
d. Elakkan mengambil makanan yang bergula di antara waktu makan utama dan sebelum tidur.
e. Semak kandungan gula pada senarai ramuan sesuatu produk makanan. Sekiranya gula tersenarai di bahagian awal senarai ramuan, ini menunjukkan gula merupakan komponen utama makanan tersebut.

2) Minum minuman yang rendah kandungan gula.
a. Minumlah air kosong berbanding minuman manis seperti air berkarbonat atau air sirap dan kordial.
b. Hadkan pengambilan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis kepada 1 sudu teh sahaja untuk setiap cawan minuman.
c. Minta untuk kurangkan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat manis semasa memesan minuman.
d. Periksa kandungan gula dalam label minuman. Pilih produk berlabel "rendah gula" dan "bebas gula".
e. Kurangkan kekerapan mengambil minuman yang bergula seperti air berkarbonat, kordial, cendol dan air batu campur (ABC).
f. Elak mengambil minuman yang bergula di antara hidangan utama dan sebelum tidur.

(Sumber Panduan Diet Malaysia 2010)
- info dari web Pusat Maklumat Rakyat